FAQ Pengoperasian Sektor Pembinaan Semasa PKP

sektor pembinaan


1. Adakah sektor pembinaan tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh?

Ya, semua aktiviti dan operasi sektor pembinaan adalah tertakluk kepada PKP Penuh.


2. Apakah kerja-kerja pembinaan dibenarkan beroperasi di bawah PKP Penuh?

Semua jenis kerja di bawah sektor pembinaan di seluruh negara hendaklah diberhentikan. Namun, dengan kebenaran untuk beroperasi menerusi CIMS MITI, pengecualian diberikan kepada kerja-kerja pembinaan kritikal seperti berikut:


A. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal, iaitu kerja yang mana jika sekiranya tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran, meliputi:


a) Penyelenggaraan dan pembaikan cerun, jalan raya, jambatan, Kawalan Pengurusan Trafik (Traffic Management Control), dan lampu isyarat;

b) Pemeriksaan berkala dan pembaikan lif/ travelator/ escalator dan lain-lain peralatan mekanikal dan elektrikal yang kritikal;

c) Pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis-premis perkhidmatan kritikal;

d) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak;

e) Pembaikan dan penyelenggaraan landasan keretapi seperti MRT, LRT, komuter, single/ double track dan projek rel.

f) Pembaikan kediaman perseorangan; dan

g) Pembinaan Bailey Bridge di lokasi jambatan roboh.


B. Kerja-kerja pembinaan melibatkan infrastruktur awam utama dan kritikal meliputia) 


a) Terowong;

b) Cerun

c) Jambatan dan viaduct;

d) Lebuhraya yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh peratus (80%) dan ke atas;

e) Infrastruktur awam utama termasuklah MRT, LRT, ECRL, komuter, single/ double track dan projek rel;

f) Infrastruktur berkaitan elektrik, telekomunikasi, empangan, saliran dan pembentungan, minyak dan gas;

g) Kerja-kerja hospital yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh peratus (80%) dan ke atas;

h) Kerja pembinaan bangunan yang mempunyai penginapan pekerja yang mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dalam tapak bina


C. Perkhidmatan profesional/ perunding yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti yang disenaraikan di item (A) dan (B) seperti di atas; dan


D. Perkhidmatan dalam rantaian bekalan yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti di item (A) dan (B) seperti di atas.


3. Bagaimanakah kontraktor boleh mendapatkan surat kebenaran beroperasi?

Semua kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan kritikal yang tersenarai di dalam No. 2, boleh mendapatkan kelulusan beroperasi menerusi Sistem CIMS MITI di https://notification.miti.gov.my. Surat kebenaran beroperasi yang dijana tersebut hendaklah dipamerkan di premis/ tapak bina untuk tempoh PKP bermula 1 Jun 2021.


4. Siapakah yang boleh memohon kebenaran beroperasi dalam sektor pembinaan?

Kontraktor, Subkontraktor, Perunding, Pemaju, Syarikat Konsensi dan Pembekal yang terlibat dengan perlaksanaan kerja pembinaan kritikal yang disenaraikan di dalam soalan 2, boleh memohon untuk kebenaran beroperasi.


5. Adakah kontraktor G1 dan G2 boleh memohon kebenaran beroperasi semasa PKP Penuh?

 Ya, boleh. Kontraktor G1 dan G2 yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh beroperasi melaksanakan kerja-kerja pembinaan bagi projek yang berskala kecil di bawah PBT berkuat kuasa serta-merta dengan kebenaran daripada PBT yang melantik atau Polis Diraja Malaysia.


Kontraktor-kontraktor boleh hadir ke balai polis yang berhampiran. Setiap permohonan perlu dilampirkan dengan dokumen pendaftaran syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukti projek yang akan dijalankan. Kontraktor G1 dan G2 yang terlibat dengan mana-mana kerja kritikal di dalam soalan no.2 pula boleh memohon kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS MITI, seperti yang diterangkan di dalam soalan 3.


6. Adakah kerja-kerja ubahsuai rumah persendirian dibenarkan?

Kerja-kerja ubahsuai rumah persendirian adalah dibenarkan dan kontraktor yang terlibat boleh memohon kebenaran beroperasi di dalam sistem CIMS MITI, di bawah Kluster Pembinaan, kategori 10. Kerja Kritikal – pembaikan kediaman perseorangan.


7. Bagaimanakah cara memohon di dalam CIMS MITI?

Pemohon perlu memilih Kluster Pembinaan di dalam menu Kluster Ekonomi. Seterusnya pemohon perlu menyatakan projek yang dilaksanakan di dalam ruangan Produk/Aktiviti Perniagaan / Product/Business Activity. Maklumat projek tersebut juga perlu diisytiharkan di dalam Sistem CIMS CIDB (cims.cidb.gov.my), sekiranya ini tidak dilakukan, permohonan akan gagal. Kontraktor boleh memohon semula kebenaran beroperasi setelah mengisytiharkan projek di dalam Sistem CIMS CIDB (cims.cidb.gov.my).


8. Bagaimanakah cara mengisi maklumat projek di dalam CIMS MITI?

Maklumat projek perlu di isi di dalam ruangan Produk/Aktiviti Perniagaan / Product/ Business Activity. Sekiranya maklumat projek tidak diisi, permohonan akan gagal. Maklumat projek tersebut juga perlu diisytiharkan di dalam Sistem CIMS CIDB (cims.cidb.gov.my), sekiranya ini tidak dilakukan, permohonan akan gagal. Kontraktor boleh memohon semula kebenaran beroperasi setelah mengisytiharkan projek di dalam Sistem CIMS CIDB (cims.cidb.gov.my).


9. Adakah Surat Kebenaran yang diperolehi oleh MITI sebelum ini boleh diguna pakai?

Tidak. Sebarang surat kebenaran yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2021 tidak lagi sah digunakan.


10. Bolehkah satu permohonan meliputi beberapa projek yang sedang dilaksanakan oleh syarikat yang sama?

Tidak. Satu permohonan berasingan diperlukan untuk setiap projek yang dilaksanakan, walaupun di bawah syarikat yang sama. Sila nyatakan alamat tapak bina di dalam ruangan “Alamat Beroperasi”.


11. Apakah sebab-sebab permohonan kebenaran beroperasi GAGAL?

  • Pemohon tidak memilih kluster Pembinaan
  • Pemohon tidak mengisi maklumat projek di dalam ruangan Produk/Aktiviti Perniagaan / Product/Business Activity.
  • Maklumat projek yang diisi tidak termasuk di dalam senarai projek kritikal (seperti soalan no.2)
  • Maklumat projek tidak diisyhtiharkan di dalam Sistem CIMS CIDB (cims.cidb.gov.my). Syarikat boleh terus mengisyhtiharkan projek kepada CIDB dan boleh memohon semula Surat Kebenaran Beroperasi dari Sistem MITI.
  • Tidak nyatakan alamat tapak bina seperti yang diisyhtiharkan.
  • Pemohon adalah kontraktor yang tidak berdaftar dengan CIDB
  • Maklumat lebih dari satu projek di masukkan dalam 1 permohonan. Satu (1) permohonan adalah terpakai untuk satu (1) projek sahaja.


12. Sekiranya permohonan gagal, adakah pemohon boleh memohon semula?

Ya, boleh memohon semula dengan memberikan maklumat yang diperlukan.


13. Apakah aktiviti yang bersangkutan dengan kerja-kerja pembinaan tetapi tidak termasuk di bawah Kluster Pembinaan untuk permohonan kebenaran beroperasi?


a) Kedai Hardware - Kluster Peruncitan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

b) Kilang membuat bahan binaan seperti simen, besi dan keluli - Kluster Pembuatan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

c) Pengusaha atau Operator Kuari dan pembekal produk kuari termasuk produk premix dan readymix – Kluster Perlombongan dan Pengkuarian di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

d) Syarikat dan pembekal yang terlibat dengan projek-projek penyelenggaraan krtitikal (yang akan ditentukan oleh pihak utiliti) bagi sistem penjanaan elektrik - Kluster Pembekalan Elektrik di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)


14. Apakah proses permohonan beroperasi untuk syarikat kuari yang terlibat di dalam kerja-kerja pembinaan kritikal?

Syarikat terlibat perlu memohon kebenaran beroperasi melalui Sistem CIMS MITI di bawah Kluster Pembinaan, Sektor Rantaian Bekalan dengan menyatakan nama projek pembinaan kritikal yang terlibat. Surat kebenaran beroperasi yang diperolehi ini perlu disertakan melalui emel kepada Jabatan Mineral dan Galian, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) (apply_cmrss@jmg.gov.my) untuk mendapatkan kelulusan. Garis Panduan Sektor Perlombongan dan Pengkuarian PKP 3.0 boleh dirujuk di https://www.jmg.gov.my/mengenai-kami/berita-semasa/pengumuman/794-sop-sektorperlombongan-dan-pengkuarian-pkp


15. Apakah proses permohonan beroperasi untuk syarikat atau pembekal elektrik yang melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di dalam kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan?

Permohonan akan diproses oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di bawah Kluster Pembekalan Elektrik dan senarai syarikat yang diluluskan akan disalurkan kepada CIDB untuk tujuan penguatkuasaan. Maklumat projek perlu di isi dengan lengkap di dalam ruangan Produk/Aktiviti Perniagaan / Product/Business Activity.


16. Adakah surat kebenaran peroperasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya melalui Sistem CIMS MITI boleh digunapakai untuk kebenaran melaksanakan tugas-tugas khusus di pejabat seperti penyediaan dokumen/ invois, pembayaran gaji dan sebagainya?

Tidak. Surat Kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya melalui Sistem CIMS MITI hanya boleh digunakan untuk aktiviti di tapak bina.  Bagi perlaksanaan tugas-tugas khusus di pejabat seperti penyediaan dokumen/invois, pembayaran gaji dan sebagainya, surat kebenaran boleh dipohon daripada Balai Polisterdekat.


17. Adakah kerja-kerja pembaikan rumah yang kritikal seperti memperbaiki paip bocor/ pecah atau bumbung rosak boleh dilaksanakan dalam tempoh PKP Penuh?

Ya, ia dibenarkan untuk kerja-kerja pembaikan rumah persendirian yang melibatkan kerja-kerja kecemasan seperti kebocoran bumbung atau paip. Untuk kerja sebegini, kontraktor hanya perlu mendapatkan surat kebenaran daripada balai polis terdekat secara one off. Kebenaran yang telah pun diperolehi sebelum ini, masih terpakai.


18. Apakah had waktu operasi yang dikenakan untuk kerja-kerja di tapak pembinaan?

Waktu operasi adalah normal atau biasa mengikut ketetapan yang diberi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


19. Adakah ujian pengesanan COVID-19 diwajibkan untuk pekerja di tapak pembinaan?

Ujian calitan COVID-19 (swab test) diwajibkan kepada semua pekerja samada tempatan atau Asing. Patient Under Investigation (PUI) & Person Under Surveillance (PUS), tidak dibenarkan datang bekerja dan perlu menjalani tempoh pengasingan yang ditetapkan oleh KKM.


20. Adakah ujian pengesanan COVID-19 wajib diulang untuk pekerja yang telah membuat ujian tersebut sebelum ini?

Ujian wajib diulang hanya untuk pekerja yang menunjukkan gejala COVID-19, atau mengikut arahan semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


21. Adakah ujian pengesanan COVID-19 diwajibkan juga untuk pekerja yang telah lengkap dua dos vaksin?

Ya. Ujian calitan COVID-19 (swab test) tetap diwajibkan kepada semua pekerja samada mereka telah atau belum menerima vaksin.


22. Apakah dokumen yang perlu disediakan oleh kontraktor di tapak bina?

Kontraktor diminta menyediakan dan menyimpan dokumen berikut di tapak bina/ premis untuk disemak oleh pihak yang diberi kuasa:

a) Nama dan nilai projek


b) Lokasi projek (koordinat GPS)


c) Butiran pegawai yang dipertanggungjawabkan

i. Pengarah Syarikat yang dipertanggungjawabkan.

ii. Pegawai Penguasa Projek

iii. Ketua Penyelaras

iv. Pemilik atau Pengurus yang menguruskan penginapan pekerja.


d) Jadual Perlaksanaan Projek


e) Bilangan dan senarai pekerja Kontraktor/ syarikat utama mengikut tred yang terlibat


f) Bilangan dan senarai subkontraktor serta pekerja mengikut tred yang terlibat (jika berkaitan)


g) Senarai pembekal bahan binaan dan bahan yang akan digunakan (jika berkaitan)


h) Senarai pembekal jentera berat, nama operator, lesen dan jentera yang akan digunakan (jika berkaitan)


i) Senarai perunding dan pekerja yang terlibat (jika berkaitan)


j) Mempamerkan tanggungjawab yang dinyatakan dalam SOP di tempat yang boleh dilihat.


k) Maklumat penginapan pekerja.


l) Rekod pergerakan pekerja dan saringan gejala/ kesihatan pekerja, kebersihan dan pengurusan tapak bina/ premism) Ikrar Akujanji CIDB


23. Apakah kapasiti pekerja yang dibenarkan untuk bekerja di tapak bina?

Bilangan pekerja di tapak bina/ premis hendaklah mengikut SOP iaitu 60% sahaja daripada jumlah pekerja yang diisytiharkan dengan kepatuhan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.


Adalah digalakkan untuk:

a) pengurusan risiko, penjadualan kerja dan pengagihan pekerja secara “sequence” atau “staggered” dilaksanakan

b) mewujudkan sistem bekerja dari rumah yang sesuai bagi pekerja yang tidak terlibat dengan aktiviti di tapak bina/ premis

c) mengadakan mesyuarat secara maya. Bagi Perkhidmatan Profesional/ Perunding yang berurusan di tapak bina mestilah pada bilangan yang minima dan diperlukan untuk melaksanakan tugas-tugas yang kritikal.


24. Adakah pekerja binaan dibenarkan berpindah dari satu tapak bina ke satu tapak yang lain?

Semua pekerja binaan TIDAK dibenarkan berpindah dari satu tapak bina ke tapak bina yang lain.


25. Apakah prosedur pergerakan bahan binaan/ bekalan ke tapak bina yang diwajibkan di dalam SOP?

a) Pergerakan masuk bahan/ bekalan ke tapak bina/ premis hendaklah direkodkan.

b) Pemandu/ Pembawa bahan/ bekalan perlu diimbas suhu badan dan didaftar masuk samaada melalui aplikasi MySejahtera atau menulis nama dan nombor telefon serta mematuhi SOP MKN.


26. Apakah antara tanggungjawab kontraktor dalam mencegah penularan COVID-19?

a) Mewujudkan Protokol Tindak Balas Kecemasan bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara pengurusan kes-kes kecemasan (terdapat jangkitan atau siasatan jangkitan COVID-19).

b) Menanggung kos pembersihan dan nyahkuman di tapak bina/ premis

c) Menanggung kos dan menyediakan penginapan alternatif (sekiranya perlu) bagi tujuan kuarantin kontak rapat yang bekerja di tapak bina/ premis.

d) Melantik seorang atau lebih penyelaras bagi membuat penyelarasan langkahlangkah pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat kerja. Pegawai Penguasa Projek dan Kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya memastikan kawalan pergerakan keluar dan masuk pekerja di tapak bina serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak bina.

e) Penyelaras boleh dilantik daripada:

i. Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (“SHO”); atau

ii. Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (“OSH-C”); atau

iii. Penyelia Tapak Bina (“SSS”); atau

iv. Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan; atau

v. Pemilik syarikat.


27. Apakah tanggungjawab kontraktor bagi penyediaan penginapan pekerja?

Kontraktor dikehendaki menyediakan bilik pengasingan di penginapan pekerja untuk:

a) Pekerja yang telah disahkan positif;

b) Pekerja yang bergejala; dan

c) Pekerja baru


Penginapan pekerja perlu dipastikan selamat dan bersih dan memastikan pergerakan

pekerja di dalam kawasan penginapan pekerja dan keluar masuk adalah dihadkan.

Penginapan yang disediakan perlu mematuhi peraturan-peraturan di dalam Akta 446.


28. Apakah tindakan yang boleh diambil kepada kontraktor yang tidak mematuhi SOP Sektor Pembinaan?

Kontraktor yang ingkar/ tidak mematuhi SOP Sektor Pembinaan boleh dikenakan tindakan kompaun oleh pihak KKM dan JTK. CIDB boleh mengambil tindakan menutup operasi tapak bina dan tindakan tatatertib seperti pengenaan penalti boleh dilakukan, selain menggantung dan membatalkan pendaftaran kontraktor jika sabit kesalahan.


29. Siapakah yang boleh dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut?

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi CIDB Careline 03-5567-3300.


Catatan:

1) Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak - individu, badan, persatuan sukan, syarikat / operator fasiliti terbuka untuk memahami dan mematuhi semua arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga SOP Pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kita sama-sama mengurangkan risiko dan membendung penularan pandemic COVID-19 ini.

2) Sebarang perubahan terkini sejajar dengan arahan terbaru pihak MKN dan KKM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa


Sumber: KEMENTERIAN KERJA RAYA


LihatTutupKomentar
Cancel